Selasa, 27 April 2010

Permohonan Tanah Kerajaan Untuk Masjid

Mesyuarat bersama penduduk bagi membincangkan program gotong royong mengusahakan tanah kerajaan yang dipohon untuk masjid. Mesyuarat bersetuju untuk mengadakan gotong royong setiap hari jumaat untuk membersihkan tanah kerajaan yang dipohon.
Gotong royong dimulakan pada 22.10.2009 dengan menebang pokok-pokok getah yang ada. Sambutan daripada penduduk amat menggalakkan. Begitulah adat masyarakat kampong. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana maufakat. Berat sama dijunjung, ringan sama dijinjing. Semoga Allah memberi ganjaran pahala atas amal baik kita semua. Amin.

Lawatan YB ADUN Bayu

Bersama-sama YB En. Azmi Bin Che Husain, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bayu semasa mengadakan lawatan di kampong pada 27.12.2009.
YB Azmi juga turut merasmikan jalan kampong (mini tar) sepanjang 1.5 kilometer yang baru siap dibina. Ini adalah projek pertama yang berjaya sejak saya memegang jawatan Pengerusi JKKKP pada tahun 2008.

Menanam Anak Benih Anggur

Anak benih anggur yang ditanam dalam polybag sebelum dipindah ke tapak kekal. Anak benih ini kelihatan amat subur. Jambak bunga telah mulai keluar tetapi sayang ia perlu dibuang kerana pokok tidak mampu menyaranya kerana masih terlalu muda. Pokok anggur mudah mengeluarkan bunga apabila dipangkas. Inilah teknik yang digunakan bagi menghasilkan buah.


Inilah anak benih anggur yang telah ditanam. Pita plastik bewarna ungu yang diikat pada batang menunjukkan warna buah bagi pokok ini. Anak benih ini dihasilkan melalui teknik 'tut' dan berumur lebih kurang 2 bulan. Pada tahap ini akar telah mulai matang dan perlu segera ditanam ke tapak kekal kerana jika lambat tumbesaran pokok akan terbantut. Batang pokok akan berubah menjadi coklat (berkayu) dalam masa 2 bulan dan akan terus membesar. Siraman air dan baja yang mencukupi amat kritikal disamping kawalan penyakit dan serangga.

Isnin, 26 April 2010

Border Intelligence Workshop

Attending Border Intelligence Workshop in Langkawi from 20 - 22 April 2010. The workshop was jointly-organised by Royal Malaysia Customs (RMC) and Australian Customs and Border Protection Service (ACBPS) .
Presentation by Australian Federal Police (AFP). Among the issues discussed were human smuggling, trafficking in person and narcotics operations.
Resource person from RILO A/P (Regional Intelligent Liason Officer , Asia Pacific) - based in Beijing, China. Emphasized on intelligent sharing and communications.

Presentation from ACBSP Kuala Lumpur - stressed on trafficking in person and human smuggling issues.

Sabtu, 24 April 2010

ANGGUR BERIS




Lihatlah betapa banyaknya buah anggur bergantungan diatas kepala. Ini adalah buah anggur yang dihasilkan oleh sebuah ladang anggur di pinggiran Tasik Beris, Sik, Kedah. Kalau tidak silap ini adalah anggur jenis White Malaga yang telah terbukti boleh hidup dengan suburnya di Malaysia. Dan yang paling penting ialah ia menghasilkan buah yang lebat dan manis! Saya juga ada menanam beberapa pokok dari jenis ini disamping jenis IAC dan Issabella Madu. Harap-harap satu hari nanti dapatlah menikmati anggur daripada hasil tangan sendiri!

Ahad, 18 April 2010

Program Jejari Bestari

Sabtu; 17.4.2010
Program Jejari Bestari di Kg. Sera Ulu, Baling, Kedah
Program Jemari Bistari ini adalah bengkel anyaman pita plastik (plastic fibre) yang dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Kedah (JPWNK) dan YB ADUN Bayu. Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada kaum wanita sekitar Mukim Pulai II ( Sera, Sera Ulu, Rambong Pulai, Teluk Pendiat, Gabus dan lain-lain) telah mengikuti bengkel ini yang diberi tunjuk ajar JPWNK.JKKKP Kg. Rambong Pulai telah menghantar seramai 5 orang peserta bagi mengikuti bengkel tersebut. Ternyata bengkel ini amat menarik dan bermanfaat kepada peserta.

Antara hasil kerjatangan peserta bengkel. Bengkel ini di kendalikan secara langsung oleh Maklang (Pn. Fauziah) isteri YB Azmi B. Che Husain bersama Persatuan Ukhwah Sri Desa.


Majlis penutup dan Penyampaian Sijil telah disempurnakan oleh YB En. Azmi Bin Che Husain, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bayu. Turut hadir ialah Pengarah JPWNK, Tn. Hj. Mohd Shabari Bin Ghazali, Pegawai Penerangan Daerah, Pemangku Pegawai KEDA Daerah Baling serta Pengerusi-Pengerusi JKKKP kampung sekitar.

Khamis, 15 April 2010

Projek Anggur 3 - RPH dan siap dipasang bumbung

Inilah dia RPH yang dah siap dengan bumbungnya. Siap dengan pagar chain-link bagi memberi perlindungan maksimum daripada lembu dan kambing! Kos pembinaan RPH inipun boleh tahan jugak. Plastik UV satu roll saiz 24 kaki lebar X 180 kaki panjang sahaja kosnya RM500.00. Tapi saya cuma guna 65 kaki sahaja. Yang lebih tu buat simpanan untuk kegunaan masa depan. Mana tau kalau koyak nanti. Batas untuk tanaman pun dah siap dibina. Tunggu untuk tanam sahaja. Sementara itu keratan yang disemai dan mula matang dan boleh ditanam ditapak kekal.

MESYUARAT PRA-PENAJA PERSATUAN BEKAS PELAJAR SK RAMBONG

Rabu, 14.4.2010 ; 2100hrs
Mesyuarat Pra-Penaja Persatuan Bekas Pelajar SK Rambong Pulai (PERBARA) telah diadakan di Warung Pak Mat Guruh (Ahmad Che Isa). Mereka yang hadir ialah Cikgu Md Pudzi Mansor, Hj. Rosdi Hj. Hashim, Sdr Mohd Saufi (YDP PIBG), Sdr Zamri Yahya dan beberapa rakan yang lain. Mesyuarat telah berjaya membentuk Jawatankuasa Penaja yang akan mengelola penubuhan persatuan ini. En. Subri Md Noh (Pengurus Negeri AgroBank Kedah/Perlis) telah dicadangkan sebagai Presiden Penaja manakala En. Baharudin Yaakob (Pengarah HEA UUM) sebagai Timb. Presiden. Manakala Tn. Hj. Rosdi dipilih sebagai Setiausaha dan Sdr Badrol Ghazali (Pengerusi JKKKP & G4B) dilantik sebagai Bendahari. Keahlian persatuan ini eksklusif untuk bekas pelajar-pelajar SK Rambong Pulai sahaja.

Selasa, 13 April 2010

Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kebajikan Islam Kg. Rambong

Ahad, 11.4.2010, 2100hrs.
Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kebajikan Islam Kg. Rambong Pulai, Baling, Kedah (PKIKR) kali kedua telah berjaya dilaksanakan. Seramai 40 orang ahli telah hadir dan mengambil bahagian dalam mesyuarat ini. Mesyuarat agak hangat apabila usul mengecilkan skop pemberian bayaran khairat kematian dibawa oleh J/kuasa Induk untuk dibahaskan. Namun begitu akhirnya usul ini berjaya diputuskan dengan baik. Ini adalah mesyuarat kedua saya selaku YDP PKIKR. Mungkin kena fikir cari pengganti pada masa depan memandangkan komitmen lain yang mendatang. Semoga Allah memberi kekuatan untuk melaksanakan amanah ini. Insyaallah.

Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan G4B Kg. Keledang

Ahad, 11.4.2010, 1530hrs.
Merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Malaysia Cawangan Kg. Keledang, Baling, Kedah atas kapasiti sebagai Ketua Penerangan G4B Kawasan Baling. Kehadiran ahli amat baik walaupun agak lewat bermula dari yang dijadualkan. "Biasalah janji melayu " kata mereka.
Sdra. Zubit Saad selaku Ketua Cawangan ternyata telah berjaya menggembeling golongan belia di Kg. Keledang untuk bersatu dalam satu organisasi belia. Semoga G4B Kg. Keledang akan terus berjaya. Adios.

Jumaat, 9 April 2010

Menyemai Keratan Benih Anggur

Keratan benih anggur ditanam segera pada hari yang sama kedalam polibeg berisi tanah, baja organik dan pasir sungai.
Kerja-kerja menyemai keratan dibantu oleh isteri tersayang dan adik-adik. Semuanya berharap projek ini akan berjaya dan membuahkan hasil. Nantikan posting selanjutnya untuk melihat betapa suburnya anak anggur yang tumbuh!

Keratan Benih Anggur (Grapevine cuttings)

Inilah keratan benih anggur yang saya beli daripada sebuah nursery anggur di Sitiawan, Perak. Order melalui telefon dan dihantar dengan kurier ke rumah. Keratan ini dipek dalam plakstik bagi memastikan ianya tidak kering semasa dalam penghantaran. Keratan ini boleh bertahan sehingga seminggu jika dipek dengan cara ini. Ada beberapa jenis anggur yang saya pesan iaitu Black Rose, IAC, White Malaga, Thompson Seedless dan Issabella Madu. Langkah seterusnya ialah menanam keratan ini kedalam polibeg berisi medium yang sesuai.

Khamis, 8 April 2010

Pokok Rambong (Ficus Elastica)

Ini adalah gambar pokok RAMBONG atau nama saintifiknya Ficus Elastica yang saya ambil dari buku "An Illustrated Guide To The Federated Malay States" tulisan Cuthbert Woodville Harrison pada tahun 1920. Gambar ini menunjukkan betapa besarnya pokok ini sehinggakan sukar untuk kita kesan gambar seseorang yang sedang memanjat melalui akarnya yang terjuntai ke tanah.

Pokok Rambong adalah 'native rubber tree' yang banyak ditemui dinegara ini dan amat terkenal sebagai pokok hiasan diseluruh dunia.

Kenapa saya bercerita tentang pokok Rambong? Sebenarnya nama pokok inilah yang diambil bagi menamakan kampung kelahiran saya di Baling, Kedah iaitu Kampung Rambong. Ada juga yang tersalah anggap nama kampung ini diambil daripada 'ramvong' iaitu sejenis tarian oleh orang-orang Thai. Jika diperhatikan ejaan kedua-dua perkataan ini jelas berbeza. Lagipun dari sumber sejarah yang boleh dipercayai, memang nama asal kampung ini diambil dari nama pokok Rambong . Nantikan post yang berikutnya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pokok ini.

Seni Silat

Berucap dalam Majlis Penyampaian Watikah Perguruan Seni Silat Gayung Fatani di perkarangan rumah Sdr. Mat Zuki Abdullah di Kg. Rambong, Mukim Pulai, Baling, Kedah.
Sesungguhnya bangsa Melayu memilik seni budaya yang amat unik dan berharga. Seni bela diri contohnya bukan sahaja alat untuk mempertahankan diri tetapi ia juga adalah warisan kebudayaan yang telah berakar umbi dalam masyarakat Melayu sejak zaman-berzaman. Bangsa Melayu mempunyai ratusan variasi seni silat dengan pelbagai nama yang indah dan unik seperti Silat Gayung, Cekak, Helang Putih, Cemendi, Kuntau, Abjad, Harimau, Seledang Merah, Pulut, Lincah, Gerak Kilat, Lintau dan sebagainya. Aliran perguruan ini biasanya lahir daripada pelbagai motif pergerakan samada meniru pergerakan haiwan atau pergerakan semulajadi manusia. Silat Cekak contohnya berpegang kepada prinsip pergerakan semulajadi manusia yang mudah, manakala Silat Helang Putih pula mengambil falsafah pergerakan burung helang dalam gerak buahnya. Demikianlah hebatnya bangsa Melayu. Mereka mempunyai daya kreativiti yang amat tinggi. Siapa kata kita tidak pandai? Hanya penjajah sahaja yang berkata demikian untuk melemahkan jatidiri kita. Ayuh bangun dan pertahankan warisan kita.

Projek Anggur 2 - memasang rangka RPH

Langkah seterusnya ialah memasang rangka bumbung. Rangka ini saya dibuat daripada besi GI dan kerja-kerja 'bending' dan welding dilakukan oleh kedai besi (foundry). Pemasangannya pada tiang tidak susah sangat. Buat seorang diri pun boleh. Semua rangka tersebut dicantumkan dengan menggunakan klip khas yang boleh dibuka semula. Ini bermakna struktur bumbung ini boleh dibuka dengan mudah jika perlu. Selepas ini plastik UV akan dipasang sebagai bumbungnya

Rabu, 7 April 2010

Sambutan Hari Belia Negeri Kedah 2009

Menghadiri Majlis Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Kedah pada 5.6.2009 di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah bersama Sdr. Zamri Yahya (Naib Ketua Cawangan). Majlis dirasmikan oleh YTM Dato Seri Tunku Puteri Intan Shafinaz. Tetamu kohormat yang lain ialah YB Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

Aktiviti Belia


Sedang berucap dalam Mesyuarat Agung Tahunan Gerakan Belia 4B Cawangan Rambong Pulai baru-baru ini. Semoga gerakan belia sentiasa gagah dan bergerak maju.

Impianku.... anggur di rambong!


Tidakkah anda rasa teruja melihat gugusan anggur yang ranum bergayutan diatas kepala? Alangkah seronoknya membelai dan menikmati anggur hasil tangan sendiri. Tetapi.. bolehkah anggur ditanam di negara kita? Itulah soalan yang sering ditanya kepada saya oleh rakan-rakan apabila saya berbicara pasal projek anggur. Ternyata ramai yang skeptikal. Tidak mengapa. Memang sudah lumrah manusia menilai sesuatu berdasarkan kebiasaan. Ramai yang telah menanamnya dan ternyata mengeluarkan hasil. Bahkan di negara kita sudah banyak ujud ladang-ladang anggur skala komersil seperti di Jeram, Selangor; Sendayan, NS; Sg. Batu Pahat, Perlis dan Tasik Beris di Kedah. Pergilah melawat dan anda pasti akan kagum!

Projek Anggur


Projek anggur ini telah bermula pada tahun 2008 dengan kerja-kerja membina rumah pelindung hujan (RPH) dengan keluasan 20 kaki lebar X 60 kaki panjang. Saya telah memilih untuk membina RPH dengan menggunakan tiang konkrit kerana pokok anggur boleh hidup sehingga 25 tahun. Jadi kalau projek ini berjaya, bolehlah ianya bertahan lama tanpa perlu membuat penyelenggaran besar!
Rangka bumbung RPH ini dibina daripada besi GI manakala bumbungnya daripada plastik UV. Kerja-kerja pemasangan tiang agak cepat kerana saya mengupah pekerja bangla! Siap dalam satu hari sahaja! Selepas ini rangka bumbung akan dipasang sebelum bumbung plastik menyusul. Tunggu post yang selanjutnya.

Salam Perkenalan

Selamat datang ke blog RASANING RASA yang merakam detik-detik dalam kehidupan saya seharian. Rasaning rasa hanya sekadar perkongsian catatan hidup seorang insan yang serba kekurangan yang cuba memahami betapa Allah mencipta kita dengan penuh rahsia.
Komen/ulasan pengunjung amat dihargai dan dipohon supaya dibuat dalam ruang lingkup kesopanan dan kesusilaan sebagai seorang insan. Selamat Membaca.
Terima kasih.